Sempena Ramadan ini sudah tentu ramai yang kelabu mata membeli juadah berbuka. Pelbagai jenis kuih-muih, lauk-pauk, air minuman pasti menyebabkan kita berpisah dengan duit tanpa sedar.
Ditambah pula dengan bajet kewangan untuk menyambut kedatangan Syawal, segala persiapan perlu dibeli dan hanya pada bulan ini sajalah masa yang tinggal untuk menyediakan semuanya.
Hakikatnya pada Ramadan ini, anda perlu mengawal kewangan dan perbelanjaan. Janganlah pula perbelanjaan lebih banyak berbanding bulan biasa.
Lebih-lebih lagi sebagai Muslim, kita diseru berjimat cermat dan tidak menurut hawa nafsu terutama ketika berbuka puasa. Jangan sampai nafsu berbuka mengatasi semuanya. Tambahan pula pada bulan puasa kita bukan saja diminta mengawal nafsu makan dan minum, tetapi juga nafsu berbelanja. Jangan sampai membazir.
Ada beberapa panduan mudah yang praktikal untuk berjimat di bulan puasa. Antaranya adalah masak sendiri di rumah untuk berbuka puasa atau bersahur.
Mungkin menjadi sesuatu yang janggal sekiranya anda tidak ke bazar Ramadan untuk membeli juadah berbuka puasa. Tambahan pula bagi warga kota yang sentiasa sibuk dengan kerjaya dan tidak punya banyak masa untuk masak di rumah. Begitu juga mereka yang masih bujang.
Untuk penjimatan maksimum, anda tidak perlulah ke bazar Ramadan terlalu kerap. Masak saja juadah berbuka seperti masak makan malam biasa.
Jika tidak sempat apa salahnya anda masak terlebih dulu sebelum pergi ke tempat kerja atau semasa anda bersahur. Ketika sampai di rumah hanya perlu panaskan semula saja makanan.
Hanya perlu sediakan air, kurma dan sedikit kuih sebagai pelapik perut sekiranya anda terpaksa berbuka di dalam kereta, menghadapi kemungkinan terperangkap dalam kesesakan di jalan raya ketika pulang kerja.
Sekiranya anda masih bujang dan berkongsi rumah dengan kawan-kawan, bolehlah kumpulkan wang untuk membeli bahan mentah dan masak sendiri.
Anda tidaklah dihalangnya untuk mengunjungi bazar Ramadan, jika tidak sempat memasak dan keupayaan tiada salahnya membeli juadah di bazar Ramadan.
Tapi pastikan anda membuat perancangan sebelum ke bazar, buat senarai makanan atau barang yang ingin dibeli berserta dengan anggaran kos.
Sediakan sejumlah wang yang diperlukan saja di dalam dompet atau beg tangan anda. Ini akan mengelakkan anda terlebih berbelanja dan mengajar anda untuk berdisiplin dalam membeli juadah berbuka.
Disarankan untuk berkongsi dalam membeli juadah, masing-masing membeli sedikit juadah dan berkongsi makan bersama-sama ketika berbuka.
Selain itu, apa salahnya jika anda berbuka puasa di surau atau masjid. Sudah pasti banyak masjid yang menyediakan juadah berbuka sepanjang bulan Ramadan.
Pasti ramai yang pernah berbuka di masjid terutamanya ketika zaman belajar dulu kerana ingin berjimat. Apa salahnya praktikkan semula perkara initi walaupun anda telah bekerja dan mempunyai wang sendiri.
Selain dapat berjimat, anda juga dapat mengeratkan hubungan dengan warga masjid yang lain selain boleh menunaikan ibadat. Jika berbuka puasa di luar atau di rumah, belum tentu ibadat dan Tarawih akan ditunaikan, pasti pelbagai alasan akan timbul.
Panduan penjimatan di bulan puasa yang lain adalah elakkan berbuka puasa di hotel atau tempat yang menyediakan bufet berbuka puasa dengan harga yang mahal.
Bayangkan jika anda terpaksa membayar hampir RM100 untuk berbuka puasa di tempat sebegini, tanya diri adakah anda mampu menghabiskan semua makanan yang disediakan.
Tepuk dada, tengoklah status kewangan anda. Kalau anda mampu tidak mengapa, kalau tidak mampu ukurlah baju di badan sendiri. Eloklah gunakan kewangan yang ada itu untuk berbelanja membeli juadah berbuka selama beberapa hari.
Ketika Ramadan inilah usahawan yang menjual makanan, kurma, kuih raya, baju raya dan lain-lain mengaut keuntungan disebabkan permintaan yang tinggi.
Seharusnya anda membeli kelengkapan menyambut Syawal sebelum bulan Ramadan lagi. Belilah sedikit demi sedikit setiap bulan, pasti anda akan memperoleh lebih kelengkapan Syawal dari berbelanja ketika bulan Ramadan.
Jika lakukan sebegini, anda tidak perlu bersesak-sesak dengan pengunjung lain untuk membeli kelengkapan raya, and dapat berjimat banyak semasa Ramadan dan boleh digunakan selepas kedatangan Syawal.
0 Comments